Wednesday, 8 January 2014

JALUR GEMILANG

  JALUR GEMILANG
   




Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat  dan kewarganegaraan bagi sebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.



Sejarah Bendera Malaysia


Sejarah Bendera Malaysia bermula apabila Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan satu Jawatankuasa pada tahun 1949 untuk menimbang serta membuat perakuan berkenaan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Satu pertandingan mereka cipta bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. 373 orang telah mengambil bahagian di dalam pertandingan ini dan tiga reka bentuk bendera telah dipilih ke peringkat akhir:

  • ·   Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.
  • ·             Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut.
  • ·           Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.



Sebelum memilih reka bentuk bendera yang menjadi juara, Majlis Perundangan Persekutuan telah menjemput orang ramai untuk memberi pendapat masing-masing tentang reke bentuk yang disukai oleh mereka. Pendapat umum ini telah disiarkan oleh The Malay Mail.

Pada 28 November 1949, keputusan telah dibuat berdasarkan suara majoriti orang ramai yang memilih reka bentuk ketiga yang dicipta oleh seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.


Pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan.

Reka bentuk tersebut diubah dengan menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja Melayu dan juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.



Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Walaupun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)


Maksud Reka bentuk Bendera Malaysia


Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia).

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.


Bagaimana Bendera Malaysia mendapat nama Jalur Gemilang

Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40, Perdana Menteri, Tun Mahathir bin Mohamad telah mengistiyarkan nama bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, pada tahun 1995, Datuk Hashim Mat Dris mencadangkan bendera Malaysia diberikan nama rasmi seperti bendera kebangsaan Indonesia digelar Sang Saka Merah Putih, United Kingdom – Union Jack, Amerika Syarikat – Star Spangled Banner dan bendera Perancis digelar Tricolor.

Beliau memberi cadangan bendera Malaysia dinamakan sebagai "Si Tuah". Sempena nama Hang Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah perkasa dan setia kepada raja.

Cadangan beliau itu kemudiannya telah diusulkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi memilih nama yang sesuai untuk bendera Malaysia. Oleh itu, satu Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil daripada beberapa kementerian dan agensi yang berkenaan.

Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan mencipta nama bendera Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat melalui peraduan tetapi memadai dipilih daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan. Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan tersebut. Nama Jawatankuasa itu kemudiannya ditukar menjadi, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia.

Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta huraiannya. Setelah penelitian dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan nama-nama tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.

Pada 11 September 1996, usul dikemukakan kepada jemaah menteri mengenai tiga nama cadangan yang dipilih. Namun, kesemua nama-nama tersebut gagal memikat hati ahli-ahli mesyuarat Kabinet yang berpandangan bahawa ia tidak benar-benar melambangkan sifat dan semangat yang diwakili oleh bendera Malaysia itu sendiri.

Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru dikemukakan. Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama-nama baru untuk bendera Malaysia.

Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan. Setelah membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan seperti berikut: ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa Gemilang’ dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.

Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9 Julai 1997, jemaah menteri telah bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama ‘Jalur Gemilang’.

Nama Jalur Gemilang di ilhamkan oleh Tuan Haji Md. Rebuan @Md. Redzuan Bin Tumin Pegawai Dari Jabatan Muzium Antikuiti.


Maksud Nama Jalur Gemilang

JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.


Read more: http://www.malaysiancoin.com/2013/09/sejarah-bendera-malaysia-jalur-gemilang.html#ixzz2poROQIyY
Under Creative Commons License: 
Under Creative Commons License: Attribution






Maksud lambang dan warna pada Bendera Malaysia

 

Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju
yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini.

Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh itu Jalur
Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam
mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi
menjaga nama dan menaikkan imej negara.

Warna Merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran.

Warna Putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan,

Warna Biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala

Warna Kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.


Susunan Keutamaan Bendera

Susunan keutamaan Bendera Malaysia dan negeri-negeri ditentukan mengikut susunan keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang Di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, susunan keutamaan bendera yang diguna pakai bagi tahun 2009 adalah seperti berikut:-

1.Malaysia2.Kedah 3.Pahang 4. Kelantan 5. Johor 6. Perak7. Perlis8. Selangor 9. Negeri Sembilan 10. Terengganu 11. Sarawak 12. Pulau Pinang 13. Sabah 14. Melaka 15. Wilayah Persekutuan 







Thursday, 26 December 2013

KEDATANGAN KAUM INDIA KE TANAH MELAYU





          KEDATANGAN KAUM INDIA KE 

                   TANAH MELAYU



  Orang India Malaysia ialah rakyat Malaysia yang berasal dari India. Kebanyakan mereka datang ke Malaysia semasa zaman penjajahan British di Malaya. Namun, sumber-sumber sejarah membuktikan bahawa kaum india tiba di Malaysia sejak zaman keagungan Dinasti Chola. Kaum india telah mula datang ke tanah melayu sejak dari pembukaan selat melaka terutamanya sebagai pedagang kain dan peminjam wang. 

  Pada akhir abad ke-19 dan permulaan abad ke-20, penjajah british mendapati india sebagai tempat mendapatkan buruh untuk bekerja di ladang- ladang getah milik mereka. Mereka ingin mendapatkan buruh- buruh yang murah, patuh dan senang dikawal. Dalam tahun 1880an. Hugh low dan Frederick weld telah mendapatkan permit daripada kerajaan british untuk mengimport buruh- buruh dari india dan bekerja di ladang- ladang milik mereka di tanah melayu. Kaum India terbahagi kepada beberapa suku etnik, di antaranya terdiri daripada tamil, telugu, malayali, ceylon dan lain. Kebanyakan mereka yang diambil bekerja di ladang- ladang adalah dari golongan tamil. 

  Pembahagian etnik lebih kurang mengikuti pengkhususan pekerjaan. Umpamanya ketika zaman kolonial British, kebanyakan orang Tamil India bekerja sebagai buruh ladang, terutamanya di ladang getah, walaupun sebahagian kecil juga bertugas di jabatan-jabatan perkhidmatan awam. Kebanyakan orang Telegu juga bekerja sebagai buruh ladang, sedangkan komuniti Malayalee pula dibahagikan kepada mereka yang bertugas sebagai pekerja pentadbir di ladang-ladang serta sebagai pekerja kolar putih pentadbiran di bandar. Kaum Tamil Ceylon pula dibawa bertugas dalam kerajaan kebanyakannya pada taraf kerani dan keatas. Kerjaya setiap kaum dari India dan Ceylon (Sri Lanka) telahpun dipra-tentu oleh Kerajaan British yang menjajah Malaya ketika dahulu. Maka, keperluan pelbagai tenaga kerja akan diperolehi dari suku kaum yang sudahpun dipratententukan.
Orang India Utara, kecuali orang Sikh, terdiri terutamanya daripada pedagang dan peniaga. Umpamaya, Gujarati dan Sindhi memiliki sebilangan syarikat tekstil yang penting di Tanah Melayu. Orang Sikh biasanya bertugas sebagai polis atau pemgawal.

  Selepas tahun 70-an, Pekerja estet kaum Tamil dan Telugu sudah mula berhijrah ke bandar akibat banyak ladang-ladang getah telah ditutup dan dimajukan untuk tujuan lain. Terdapat pekerja yang telah bekerja berpuluh-puluh tahun telah diberhentikan begitu sahaja dan tidak diberikan apa-apa pampasan.

  Pada 22 Ogos 2009, YB Dato Dr. S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia menyatakan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah meningkatkan taraf hiidup pekerja ladang, terutamanya orang India yang berkerja di ladang. Kerajaan nampak turut bersimpati dengan keadaan kaun India terutama sekali dalam bidang ekonomi, sosial serta pelajaran. Oleh kerana kerajaan menghargai dan mengiktiraf sumbangan kaum India terhadap asas ekonomi negara Fasa 1 (Getah sebelum 1975)dan Fasa kedua (Kelapa Sawit 1975 hingga 1990).
    
  Kerajaan sejak dulu lagi telah memberi banyak sokongan kepada kaum India Malaysia. Terdapat peruntukan RM1 juta pada tahun (2006) menerusi tabung bantuan pendidikan Pembangunan Insan Kemahiran Teknikal, bagi tujuan melatih belia-belia India yang gagal dalam pelajaran untuk mengikuti kursus jangka pendek di Kolej Industri dan Pendidikan Negeri Selangor (INPENS). Belia India bukan sahaja diberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal, tetapi mereka juga diberikan bimbingan keagamaan setiap hari Jumaat oleh guru agama mereka. Selain itu wang saku juga diberi sebenyak RM100 sebulan. Selain itu, Kerajaan negeri Selangor turut mewujudkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Estet negeri Selangor untuk membantu anak-anak ini melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dikendalikan oleh Yayasan Selangor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun. Peruntukan sebanyak RM3 juta setahun juga diberikan untuk rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil-kuil berdaftar.



KESIMPULAN

  Kaum india telah mempunyai hubungan dengan tanah melayu sejak dari abad ke15 dan mereka datang adalah untuk tujuan perdagangan. Selepas pihak british menjajah tanah melayu maka wujud pelbagai kegiatan ekonomi secara besar- besaran di antaranya ialah industri getah. Kaum india mula datang ke tanah melayu secara beramai- ramai seiringan dengan perkembangan industri getah. Kebanyakan daripada mereka datang untuk bekerja sebagai buruh di estet- estet getah kepunyaan british. Ini adalah kerana pada masa itu tanah melayu tidak mempunyai pekerja yang mencukupi untuk bekerja di ladang- ladang getah. Mereka datang untuk satu tempoh yang ditetapkan dan kemudian pulang ke tanah air mereka. Walau bagaimanapun, selepas tamat Perang Dunia Kedua, kebanyakan daripada mereka terus menetap di kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

  Pada hari ini, kaum india adalah kaum ketiga terbesar di malaysia selepas melayu dan cina. Oleh kerena dasar pemerintah british yang mengamalkan dasar pecah dan perintah, ketiga- tiga kaum ini terpisah dari segi ekonomi mereka. Kerajaan sedar perlunya campur tangan dalam ekonomi negara menyebabkan perlaksanaan
Dasar Ekonomi Baru bagi tujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.  


DULU














SEKARANG